Loli ais
Kandungan rencana ini berkait dengan makanan. |
Loli ais merupakan sejenis aiskrim sejuk beku yang mempunyai tangkai. Ia mendapat namanya kerana bentuknya yang menyerupai lolipop. Loli ais dibuat dengan menyejuk bekukan cecair berwarna (seperti jus buah-buahan) ke dalam acuan dan merendamkan tangkainya ke dalam larutan tersebut. Di Amerika Syarikat dan Kanada, loli ais dipanggil popsicle berikutan populariti jenama Popsicle di sana, sehinggakan istilah tersebut menjadi tanda dagangan umum bagi merujuk kepada mana-mana jenis loli ais tanpa mengira jenama.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Loli ais pertama yang direkodkan dicipta secara tidak sengaja pada tahun 1905 oleh seorang budak lelaki berumur 11 tahun bernama Frank Epperson dari San Francisco, yang tertinggal segelas air soda di belakang rumahnya dengan kayu pengacau di dalam gelas tersebut. Pada malam itu, suhu jatuh ke bawah paras beku; akibatnya, apabila Epperson kembali untuk minum air tersebut, dia mendapati air sodanya itu sudah beku, dan setelah dia melalukan air panas pada gelas itu, dia berupaya untuk menanggalkan (dan seterusnya memakan) air soda beku itu dengan menjadikan kayu pengacau tersebut sebagai tangkainya.[1]
Loli ais mula diperkenalkan kepada umum buat pertama kalinya di Oakland untuk ahli bomba pada tahun 1922. Pada tahun 1923, Epperson memohon paten bagi "ais beku pada tangkai" yang dipanggil Epsicle, dan seterusnya dinamakan semula sebagai Popsicle. Jenama tersebut kini merupakan antara jenama loli ais paling popular di Amerika Syarikat.
Variasi
[sunting | sunting sumber]Aiskrim potong
[sunting | sunting sumber]Satu variasi tempatan bagi loli ais dikenali sebagai aiskrim potong. Cara pembuatannya lebih kurang sama seperti loli ais biasa. Bezanya, satu acuan segiempat besar digunakan untuk membuat banyak aiskrim, dan larutan yang telah beku dipotong sama besar mengikut saiz yang dikehendaki. Kaedah ini membolehkan aiskrim potong dihasilkan pada kos yang lebih rendah daripada loli ais biasa.
Aiskrim Malaysia
[sunting | sunting sumber]Aiskrim Malaysia merupakan sejenis loli ais tanpa tangkai yang pernah popular suatu masa dahulu. Pembuatannya juga sangat mudah, iaitu dengan mengisi tiub plastik dengan air berperisa seperti asam boi, jagung, sirap bandung, Milo, dsb., mengikat hujung tiub tersebut dan seterusnya menyimpannya di dalam petak pembeku pada peti sejuk. Kini, aiskrim Malaysia semakin sukar untuk dicari di kawasan bandar, tetapi ia masih boleh didapati dengan mudah di kawasan kampung.[2] Di luar negara, ia dikenali dengan sebagai "freezie" atau ice pop, freezer pop.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Hall of Fame". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-06-08. Dicapai pada 2011-01-21.
- ^ Nuruk Izza Rosly. "Ilham rasa Pesta Aiskrim Malaysia". Kosmo. Dicapai pada 2013-03-23. Cite has empty unknown parameter:
|coauthors=
(bantuan)