Cicak-Man
Cicak-Man | |
---|---|
Pengarah | Datuk Yusry Abdul Halim |
Penulis |
|
Dihasilkan oleh | Johan Lucas |
Dibintangi |
|
Sinematografi | Indra Che Muda |
Disunting oleh | Andy Sjahrial |
Muzik oleh |
|
Syarikat penerbitan | KRU Films |
Diedarkan oleh | KRU Studios |
Tarikh tayangan |
|
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM 1.7 juta |
Pecah panggung | RM 6.7 juta[1] |
Cicak-Man (Jawi: چيچق-من ), juga ditulis Cicakman, ialah filem superhero aksi cereka sains komedi adiwira Malaysia 2006 arahan sulung Datuk Yusry Abdul Halim dengan skrip oleh Meor Shariman terbitan KRU Studios.[2][3][4] Berlatarkan bandar raya Metrofulus, ia berkisarkan tentang Hairi yang bekerja di Klon Technologies, telah mencari vaksin baharu untuk penyakit baharu. Dia terlalu malu untuk mendekati Tania (setiausaha Profesor Klon), gadis yang dicintainya dan cukup janggal untuk menelan cicak-cicak yang jatuh dalam secawan kopinya.[5] Cicak itu telah dicemari oleh virus baru dan Hairi akan mendapat beberapa ciri "cicak". Dibintangi oleh Saiful Apek, Yusry, Fasha Sandha, Aznil Nawawi, AC Mizal, Adlin Aman Ramlie dan Yasmin Hani, ia merupakan filem pertama dalam trilogi Cicak-Man dan diiktiraf sebagai filem adiwira pertama Malaysia dan juga filem pertama terbitan KRU Studios.[6][7]
Filem ini merupakan percubaan sulung Yusry untuk melahirkan adiwira Malaysia.[8] Ia telah mendapat pujian pelbagai pihak atas usaha dan hasil yang diberikan dan dikatakan sebagai satu evolusi bagi industri perfileman Malaysia. Cicak-Man ditayangkan di pawagam pada 7 Disember 2006 dan menerima pelbagai ulasan positif daripada pengkritik,[9][10] dengan Yusry menerima pujian atas percubaan sulungnya sebagai pengarah.[11][12] Ia telah memperoleh kutipan pecah panggung sebanyak RM6.7 juta dan telah menerima dua anugerah daripada lapan pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-20. Kejayaan Cicak-Man membawa kepada pelbagai francais (termasuk komik dan novel) dan dua filem susulannya, Cicakman 2: Planet Hitam (2008) dan Cicakman 3 (2015).
Plot
[sunting | sunting sumber]Mengisahkan seorang anak muda, Hairi (Saiful Apek), secara tidak sengaja menelan seekor cicak yang sedang dalam proses uji kaji di makmal. Dia dan rakan karibnya, Danny (Yusry), bekerja di syarikat milik Profesor Klon (Aznil Nawawi), di Bandar Metrofulus. Akibat kejadian itu, Hairi dapat merasa perubahan dalam dirinya. Dia mula bersikap seperti seekor cicak yang berupaya memanjat dinding, luka yang cepat sembuh dan cekap menggunakan lidahnya yang panjang.
Profesor Klon pernah membuat uji kaji ke atas Ginger Boys (AC Mizal dan Adlin Aman Ramlie). Walau bagaimanapun, uji kajinya itu gagal. Akibatnya Ginger Boys menjadi cacat dan mahu menuntut balasan daripada Profesor Klon. Untuk menenangkan Ginger Boys yang berhasrat membunuhnya itu, Profesor Klon telah mencadangkan mereka menyertai misi Profesor Klon menakluki Metrofulus. Ginger Boys bersetuju tanpa mengesyaki Profesor Klon hanya mahu mengambil kesempatan atas kebolehan mereka.
Pada waktu yang sama, Hairi dan Danny mula mengesyaki kegiatan jahat Profesor Klon dan konconya. Setiap kali Bandar Metrofulus ditimpa penyakit, Profesor Klon hadir bersama penawar. Dalam cubaan jahat untuk merampas kuasa bandar berkenaan, Profesor Klon menculik lima orang menteri Metrofulus dan cuba menukarkan mereka dengan klon ciptaannya. Hairi dan Danny mendapat tahu muslihat itu, lalu berusaha untuk menghalang.
Hairi juga meminati setiausaha Profesor Klon, Tania (Fasha Sandha), tetapi dia malu untuk meluahkan rasa cintanya. Dalam satu kejadian, dia menyelamatkan Tania dari cengkaman Ginger Boys. Begitu pun, Tania menyangka Danny yang sebenarnya berselindung di sebalik topeng sang cicak. Uji kaji Danny membuktikan kebolehan Hairi menjadi cicak akhirnya mendatangkan musibah kepada diri sendiri. Sel manusia Hairi akan berkurangan dan terus menjadi seekor cicak. Danny meneruskan pencarian antidot untuk Cicak-Man sementara Hairi/Cicak-Man menyelamatkan Metrofulus.
Profesor Klon menyangkakan bahawa Cicak-Man ialah Danny setelah Ginger Boys menyelongkar rumah Tania dan membaca beberapa catatan Tania mengenai Cicak-Man yang disangkainya Danny. Setelah Profesor Klon menculik Danny, barulah Profesor Klon menyedari bahawa Hairilah Cicak-Man sebenar. Cicak-Man yang semakin tenat perlu menyelamatkan Danny daripada Profesor Klon namun tidak berjaya. Profesor Klon menyuntik separuh antidot untuk Cicak-Man yang berjaya disiapkan oleh Danny sebelum ini pada Danny. Akibatnya, Danny menjadi lemah dan akhirnya mati. Walau bagaimanapun, Cicak-Man berjaya menyuntik antidot yang selebihnya dan menjadi kuat semula. Setelah menewaskan Ginger Boys, Cicak-Man perlu berhadapan dengan klon beliau yang dicipta oleh Profesor Klon. Akhirnya, Cicak-Man berjaya menewaskan klon ciptaan Profesor Klon.
Cicak-Man yang dikehendaki polis kerana disalah sangka mencabul Presiden Ramlan dan disalah sangka melakukan jenayah lain melarikan diri sebaik sahaja polis Metrofulus tiba. Profesor Klon dipenjarakan setelah didapati melakukan jenayah. Tania yang menyangkakan Danny merupakan Cicak-Man terus bersedih dengan kematiannya. Hairi pula sudah berjanji tidak akan muncul sebagai Cicak-Man dan membiarkan Danny mati sebagai wira di mata Tania. Dalam pada itu, Profesor Klon yang ditangkap bukanlah Profesor Klon yang sebenar tapi hanya klon beliau sendiri.
Penerbitan
[sunting | sunting sumber]Pada 18 Januari 2009, Astro Kirana, sebuah saluran berbayar baru daripada stesen tv berbayar Astro yang menayangkan filem-filem pada setiap slot waktu akan menayangkan filem Cicakman.
Pelakon
[sunting | sunting sumber]Pelakon utama
[sunting | sunting sumber]- Saiful Apek sebagai Cicak-Man / Hairi dan Cicak-Man Hitam (klon / jahat) (dua watak)
- Fasha Sandha sebagai Tania
- Yusry KRU sebagai Danny
- Aznil Nawawi sebagai Profesor Klon
- Adlin Aman Ramlie sebagai Ginger 1
- AC Mizal sebagai Ginger 2
- Yasmin Hani sebagai Nadia
Turut dibintangi
[sunting | sunting sumber]- Jalaluddin Hassan sebagai Ramlan, presiden Metrofulus
- M. Rajoli sebagai Menteri 1
- Aziz Sattar sebagai Menteri 2
- Shaharuddin Thamby sebagai Menteri 3
- Arash Mohamad sebagai Menteri 4
- Zulkifli Zain sebagai Menteri 5
Pelakon pembantu
[sunting | sunting sumber]- Helmi Gimmick sebagai Pegawai polis
- Abon sebagai Pengawal keselamatan 1
- Prono sebagai Pengawal keselamatan 2
- Azhar Sulaiman sebagai Penjual tiket
- Rostam Said sebagai DJ radio
- Irma Hasmie sebagai Pembaca berita
Penerbitan
[sunting | sunting sumber]Cicak-Man ialah filem sulung terbitan KRU Studios.[7][13] Ia diarahkan oleh ahli pengasas kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim dan merupakan percubaan sulung beliau menduduki kerusi pengarah.[14] Asal-usul filem ini bermula dengan impian zaman kanak-kanak Yusry. Beliau pernah berangan-angan untuk menjadi wira perkasa terkenal, Superman, namun cita-citanya tidak menjadi kenyataan.[15] Yusry mengakui bahawa beliau sering berangan-angan akan membuat filem mengenai seorang lelaki berwajah biasa dengan kebolehan adimanusia rahsia.[16] Sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan untuk pembikinan filem ini.[17][18] Saiful Apek dan Fasha Sandha kembali digandingkan dalam filem ini dengan memegang watak utama sebagai Hairi/Cicak-Man dan Tania, selepas bekerjasama dalam filem Nana Tanjung dan Bujang Senang. Yusry sendiri turut berlakon dengan memegang watak Danny, rakan serumah Hairi/Cicak-Man. Barisan pelakon lain termasuk AC Mizal, Adlin Aman Ramlie dan Yasmin Hani serta penampilan kameo daripada Azhar Sulaiman, Helmi Gimmick dan Irma Hasmie.
Penggambaran dijalankan dengan menggunakan true-HD (definisi-tinggi) dan kegunaan imej janaan komputer (CGI) yang meluas, termasuklah hampir 40% daripada penggambaran dilakukan pada layar hijau atau. Penggambaran juga dijalankan menggunakan kamera Definisi-Tinggi Sony F900 CineAlta. Cicak-Man ialah projek perintis bagi penerbitan filem Malaysia dengan menggunakan kawalan gerakan, lagak ngeri dan pasukan-pasukan tali-temali lengkap dan pakaian yang direka bentuk. Dengan jumlah masa pembikinan selama 36 hari, penciptaan Bandar Metrofulus amat unik kerana bandar ini telah dicipta dengan begitu terperinci.
15 hari penggambaran telah diperuntukkan untuk penggambaran dalam studio, di mana pereka-pereka set telah mencipta 5 set saiz sebenar untuk penggambaran dalam dan luar studio, semua penggambaran dilakukan dengan layar hijau. Untuk lokasi luar, pelakon-pelakon berpakaian dengan satu tema, iaitu pakaian musim sejuk, demi mencipta iklim sejuk Bandar Metrofulus.
Proses pasca-penerbitan dan kesan visual dengan hampir 500 penggambaran kesan visual telah dijalankan selama 9 bulan.[19] Pasukan kesan visual yang diketuai oleh Yusry, telah berjaya mewujudkan pemandangan Bandar Metrofulus dalam 3D juga tambahan elemen CGI seperti animasi watak, set digital tambahan dan ketidakkelihatan wayar.[19] Lebih 90% kerja-kerja merotoskop dan penggubahan dilakukan di dalam KRU Films, juga bagi skor muzik dan kesan audio. Proses pemindahan kine telah dilakukan di Bangkok, Thailand di mana Cicak-Man telah selesai dalam bentuk Dolby Digital.[19] Filem ini dihantar ke Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi menjalani proses penapisan pada 20 Ogos 2006 dan bebas dari potongan.[20]
Gaya dan tema
[sunting | sunting sumber]Mansor Putih dalam temu ramah dengan Harian Metro menyifatkan terdapat kelainan dalam Cicak-Man, walau bagaimanapun mengatakan filem ini tiada pengisian iaitu "tiada ‘jiwa’, nilai seni dan budaya".[21] Ada juga yang cuba membandingkan Cicak-Man dengan Spiderman, Batman, Superman, Ultraman dan adiwira-adiwira lain yang datang dari Hollywood.
Terdapat banyak jenaka yang ditonjolkan dalam filem ini, yang merujuk atau difahami mengikut budaya Malaysia. Contohnya apabila Hairi menjerit perkataan 'tahniah' untuk selindungkan perkataan 'Tania'. Cicak-Man juga dilihat menyindir kualiti cakera padat cetak rompak dengan menggunakan klon sebagai simbol benda yang dicetak rompak. Semasa membebaskan menteri yang telah diklon, Cicak-Man bertanyakan soalan lucu, yang berbunyi "Original ke Spicy?" melambangkan perisa ayam KFC yang terdapat di Malaysia.
Muzik
[sunting | sunting sumber]Cicak-Man: Original Motion Picture Soundtrack | |
---|---|
Runut bunyi oleh Pelbagai | |
Dilancarkan pada | 1 September 2006 |
Tempat | Malaysia |
Genre | Pop, rock, R&B, balada |
Panjang | 107:00 |
Bahasa | Bahasa Melayu |
Syarikat | KRU Records |
Pengedar | KRU Studios |
Pengarah | Yusry bin Abdul Halim |
sunting · sunting di Wikidata |
Album runut bunyi Cicak-Man telah diterbitkan bagi mempromosikan filem ini dan mengandungi sebanyak 8 lagu. Ia dikeluarkan pada 1 September 2006 oleh KRU Records sebelum tayangan perdana filem ini.[22] Lagu "Telinga Ke Tulang" nyanyian kumpulan Spider dikeluarkan sebagai single utama.
- Senarai runut
No. | Tajuk | Artis | Masa | |
---|---|---|---|---|
1. | "Cicakman" | The Times | 2:44 | |
2. | "Telinga Ke Tulang" | Spider | 4:00 | |
3. | "Diari Seorang Lelaki" | Pretty Ugly | 4:22 | |
4. | "Menunggumu" | Ezlynn | 4:09 | |
5. | "Profesor Klon" | Aznil Nawawi | 3:34 | |
6. | "Jika Ku Tak Bangun Esok Pagi" | Yusry KRU | 3:28 | |
7. | "Bukan Ilusi" | Dr Kronik | 4:10 | |
8. | "Dialah Aku" | Syuga | 3:57 | |
Keluaran
[sunting | sunting sumber]Tayangan dan kutipan
[sunting | sunting sumber]Cicak-Man pada asalnya dijadualkan untuk tayangan pada November 2006,[23] bagaimanapun ia ditayangkan secara rasmi pada 7 Disember di 40 pawagam seluruh Malaysia semasa musim cuti sekolah.[24][25] Sebelum tayangan dibuka kepada umum, pengarahnya Yusry telah memberitahu supaya tidak membandingkan Cicak-Man dengan watak adiwira yang lain kerana kos belanjawannya yang rendah hanya RM1.7 juta sahaja berbanding produksi Hollywood.[26] Sebanyak 90 peratus tiket untuk menonton filem ini telah habis dijual. DiGi selaku penaja utama Cicak-Man telah memperuntukkan bajet lebih RM3 juta bagi mempromosi serta memasarkan Cicak-Man.[27]
Filem ini menjadi kejayaan komersial apabila ia berjaya memperoleh kutipan pecah panggung kasar sebanyak RM350,000 untuk hari pertama tayangan dan ditonton oleh 47,166 penonton,[28][29] sekaligus mengatasi filem Nana Tanjung yang mengutip kutipan tiket RM240,000 semasa hari pertama tayangan pada 23 November.[27] Cicak-Man terus mendapat sambutan berterusan dalam tempoh lima hari tayangan, sekali gus meningkatkan jumlah kutipannya yang menghampiri angka RM2 juta.[30] Filem ini memperoleh kutipan pecah panggung sebanyak RM3.5 juta dalam masa 10 hari tayangan dan terus meningkat kepada RM4.7 juta dalam masa tiga minggu tayangannya.[31][32] Kutipan keseluruhan untuk tayangannya di Malaysia berjumlah RM 5.2 juta.[33][34][35]
Selepas tayangan perdana di pawagam tamat, tayangan filem Cicak-Man dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 20 Mac 2007. Bagaimanapun, ia mendapat kritikan daripada mahasiswa UPM apabila mereka mendakwa penganjuran itu tidak selari dengan identiti mahasiswa sebagai golongan berilmu, malah dianggap tidak membina keintelektualan mahasiswa sebagai warga berilmu.[36]
Pemasaran
[sunting | sunting sumber]KRU Studios merancang untuk memasarkan Cicak-Man ke beberapa negara termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia[37] serta di Asia Barat seperti Mesir, Syria dan Arab Saudi.[38][39] Program Titian Budaya Malaysia-Republik Indonesia yang diadakan di Jakarta Convention Centre (JCC) selama tiga hari bermula 16 Disember 2006 pula telah membawa filem ini ke Indonesia. Ia telah membantu mempromosi nilai komersial pada filem ini apabila ditayangkan bermula 17 Disember 2006 bersama-sama dengan 6 filem lain iaitu Pontianak Harum Sundal Malam 2, Gubra, Bilut, Castello, Buli dan Puteri Gunung Ledang.[40]
Sambutan
[sunting | sunting sumber]Filem ini menerima pelbagai ulasan yang baik daripada pengkritik filem. Menulis untuk Harian Metro, Ellyna Ali merujuk kepada filem ini sebagai "perintis filem superhero".[41] Nurulhisham Abdul Latiff dari Berita Harian memberikan ulasan positif, dengan memuji keupayaan KRU Studios kerana "menampilkan imej janaan komputer (CGI) yang boleh dianggap cukup baik, hasil kepakaran tangan tempatan".[42] Ratna Murniwati Amir Hamzah, juga dari akhbar sama, memberi ulasan posiif, dengan berkata: "Ternyata filem ini boleh dibanggakan kerana ada pembaharuan dalam industri filem Malaysia". Bagaimanapun, beliau beranggapan negara Cicak-Man yang ditonjolkan dalam filem ini "tidak sesuai dengan bangsa".[43] Shakilawati Abd Rahman dari Metro Ahad pula menulis: "Pembaharuan yang cuba dibawa sutradara muda, Yusry Abdul Halim menerusi penggunaan kesan khas dan Imej Janaan Berkomputer (CGI) membuka mata pencinta filem bahawa orang kita juga mampu menghasilkan filem superhero setanding filem Barat".[44] Faridul Anwar Farindordin dari New Straits Times memuji plot filem dan persembahan barisan pelakon.[45] Sharifah Arfah dan Azman Ahmad, juga dari akhbar sama, turut memberikan ulasan positif untuk filem ini.[46]
Filem ini telah pun mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak atas usaha yang dilakukan oleh pengarahnya sebelum ia ditayangkan. Antara yang memuji beliau ialah Datuk Yusof Haslam. David Teo sebagai penerbit dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth Pictures (MIG) juga menganggap Cicak-Man sebagai satu keajaiban dengan sambutan dan kelainan yang ditonjolkan dalam industri perfileman Malaysia. Selain pembikin filem, bekas Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim juga memuji karya yang dihasilkan Yusry dan KRU.[47]
Kontroversi
[sunting | sunting sumber]Dua minggu selepas Cicak-Man ditayangkan di pawagam, filem ini telah dikeluarkan dalam bentuk cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak. Hal ini menyebabkan KRU menyeru orang ramai supaya memberi sokongan dengan menonton filem ini di pawagam dan tidak membeli atau menyokong cetak rompak. Laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan lanjut.[48]
Anugerah
[sunting | sunting sumber]Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2007 | Festival Filem Malaysia ke-20 | Lagu Tema Asal Terbaik | Tam Spider | Menang |
Anugerah Khas Juri | Johan Lucas | Menang | ||
Pelakon Lelaki Terbaik (dalam Watak Pembantu) | Aznil Nawawi | Tercalon | ||
Pereka Kostum/Busana Terbaik | Izatt | Tercalon | ||
Skor Muzik Asal Terbaik | Edry Abdul Halim | Tercalon | ||
Penataan Bunyi Terbaik | Tercalon | |||
Penataan Seni Terbaik | Yusry Abdul Halim | Tercalon | ||
Pengarah Harapan Terbaik | Tercalon | |||
Anugerah Era 2007 | Pilihan Kaki Wayang ERA | John Lucas | Tercalon |
Kesinambungan
[sunting | sunting sumber]Cicakman 2: Planet Hitam (2008)
[sunting | sunting sumber]Ia telah dilaporkan pada Ogos 2007 bahawa kesinambungan untuk filem Cicak-Man sedang dalam perancangan, dengan Yusry Abd Halim kembali sebagai pengarah dan Meor Shariman kembali sebagai penulis skrip.[49] Beliau dilaporkan merancang untuk mengarahkan dua lagi filem Cicak-Man.[50]
KRU menggalas peranan sebagai penerbit, dengan Johan Lucas sebagai penyelaras penerbitan. Yusry, Saiful Apek, Fasha Sandha, Aznil Nawawi, AC Mizal dan Adlin Aman Ramlie kembali menjayakan watak masing-masing dengan penambahan pelakon baharu termasuk Sharifah Amani, Louisa Chong dan Linda Onn.[51] Erra Fazira pada mulanya ditawarkan untuk melakonkan watak Rrama, namun menarik diri kerana pertindihan jadual kerja dan digantikan oleh pelakon Indonesia, Tamara Bleszynski.[52]
Cicakman 2: Planet Hitam ditayangkan pada 11 Disember 2008, dua tahun selepas kejayaan filem pertama.[53] Filem ini mengisahkan bagaimana Profesor Klon menyusahkan warga Metrofulus dengan rancangan Planet Hitam.[54][55] Ia menjadi filem terakhir lakonan kesemua barisan pelakon asal dalam trilogi Cicak-Man.
Cicakman 3 (2015)
[sunting | sunting sumber]Kesinambungan ketiga untuk Cicak-Man telah diumumkan pada Ogos 2012 dengan Yusry kembali sebagai pengarah dengan Ghaz Abu Bakar sebagai pengarah bersama.[56] Beliau turut kembali sebagai penulis skrip, kali ini bersama Ghaz dan Nizam Zakaria. Norman Abdul Halim menggalas peranan sebagai penerbit bersama-sama dengan Tengku Iesta Tengku Alaudin dan Gayatri Su-Lin Pillai.
Berbanding dua filem sebelum ini, filem ketiga Cicak-Man tidak menampilkan barisan pelakon asal yang terdiri daripada Saiful, Fasha, Aznil, Yusry, AC dan Adlin, sebaliknya menampilkan Zizan Razak, Lisa Surihani dan Fizz Fairuz sebagai teraju utama. Filem ini telah kembali kepada format asal filem Cicakman iaitu komedi dengan penambahan tema keluargaan.[57] Walau bagaimanapun, watak serta jalan cerita yang diketengahkan amat berbeza secara keseluruhan daripada dua filem terdahulu.[58]
Cicakman 3 ditayangkan pada 12 Mac 2015, tujuh tahun selepas filem Cicakman 2 - Planet Hitam dikeluarkan.[59] Filem ini mengisahkan tentang Man, yang telah terjumpa sebuah kotak yang mana dia diberi tanggungjawab untuk menjadi Cicakman yang baharu.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Mohd Nasif Badruddin (28 Ogos 2008). "Yusry taruh harapan". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Julai 2011. Dicapai pada 14 September 2008.
- ^ Hartati Hassan Basri (29 November 2006). "Cicak-Man hero komedi bukan hero serius". Harian Metro. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ "Cicak Man has makings of a hit" (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 5 September 2006. Dicapai pada 11 November 2015.
- ^ Meor Shariman (2 Mac 2006). "The world is 'Cicakman's ceiling" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Zubir Mohd Yunus (26 Mac 2006). "Cicak-Man Hero misteri Kota Metrofulus". Berita Minggu. Dicapai pada 4 Februari 2021.
- ^ Suzan Ahmad (10 Disember 2006). "Revolusi baru Cicak-Man". Berita Minggu. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ a b Amir Hafizi (9 September 2005). "The Cicakman cometh" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 4 Februari 2021.
- ^ Shakilawati Abd Rahman (9 April 2006). "Cicak-Man hero ilham Yusry". Metro Ahad. Dicapai pada 4 Februari 2021.
- ^ Akmal Abdullah (14 Disember 2006). "Di sebalik sambutan hebat filem Cicak-Man". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Ramlah Zainal (1 Januari 2007). "Cicak-Man pecah rekod 10 tahun". Harian Metro. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Zubir Mohd Yunus (3 Disember 2006). "Penangan awal Cicak-Man". Berita Minggu. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ "Cicak-Man: Kaya dalam tempoh singkat". Harian Metro. 17 Disember 2006. Dicapai pada 4 Februari 2010.
- ^ Sharifah Arfah (22 November 2006). "Leapin' lizard!" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ "Yusry jadi pengarah filem". Kita Orang. Berita Minggu. 29 Mei 2005. Dicapai pada 4 Februari 2021.
- ^ Nurulhisham Abdul Latiff (1 Disember 2006). "Cicak-Man penuhi impian Yusry KRU". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Faridul Anwar Farinordin (9 Disember 2006). "Yusry's childhood fantasy comes true in debut film" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Nurulhisham Abdul Latiff (9 September 2005). "KRU belanja RM2j lahirkan Cicak Man". Berita Harian. Dicapai pada 4 Februari 2021.
- ^ Rudy Imran Shamsudin (10 September 2005). "KRU labur RM2 juta untuk Cicak-Man". Harian Metro. Dicapai pada 4 Februari 2021.
- ^ a b c Meor Shariman (30 Mac 2006). "Image of 'Cicakman' finally out" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Rozdan Mazalan (7 September 2006). "Cicakman bebas gunting LPF". Berita Harian. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ "Pengkritik Bangga, tapi filem itu tiada 'jiwa' nilai seni dan budaya". Idealis Mahasiswa. 24 Disember 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Januari 2007. Dicapai pada 4 Februari 2010.
- ^ "Cicak Man (Original Soundtrack)". iTunes Malaysia. 1 September 2006. Dicapai pada 6 Februari 2014.
- ^ "Lelaki cicak di pawagam November ini". Utusan Malaysia. 19 September 2006. Dicapai pada 5 Februari 2011.
- ^ Rozdan Mazalan (25 November 2006). "Tayangan khas Cicak-Man sempena musim cuti sekolah". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Nor Fadzilah Baharudin (22 November 2006). "Yusry takut tunggu kehadiran Cicak-Man". Utusan Malaysia. Dicapai pada 5 Februari 2011.
- ^ Farihad Shalla Mahmud (28 November 2006). "Cicak-Man bukan saingi superhero dari Hollywood". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ a b Abd. Aziz Itar (9 Disember 2006). "Cicak-Man kutip RM350,000 hari pertama tayangan". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 September 2018. Dicapai pada 11 November 2015.
- ^ Ellyna Ali (9 Disember 2006). "Cicak-Man catat sejarah". Harian Metro. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Zainuri Misfar (9 Disember 2006). "Filem KRU kutip RM350,000 hari pertama tayangan". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Zainuri Misfar (13 Disember 2006). "Cicak-Man cecah kutipan RM2j dalam tempoh 5 hari". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ "Cicak-Man kutip RM4.7 juta". Berita Harian. 28 Disember 2006. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Zubir Mohd Yunos (24 Disember 2006). "Cicak-Man cecah RM4 juta, tapi Norman pula sedih". Berita Minggu. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ "Cicak-Man waraskan saya – Yusry". Utusan Malaysia. 17 Disember 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-03-13. Dicapai pada 4 Februari 2018.
- ^ Nurulhisham Abdul Latiff (12 Januari 2007). "Filem komedi fantasi tunjuk kuasa". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Zubir Mohd Yunus (7 Januari 2007). "'Janganlah ada hasad dengki'". Berita Minggu. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ "'Cicak-Man' tak selari identiti mahasiswa". Berita Harian. 17 Mac 2007. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Rudy Imran Shamsudin (1 April 2006). "Cicak-Man tembusi 3 negara". Harian Metro. Dicapai pada 4 Februari 2021.
- ^ Akmal Abdullah (23 Februari 2006). "KRU pasarkan Cicak Man di luar negara". Berita Minggu. Dicapai pada 4 Februari 2021.
- ^ Zul Husni Abdul Hamid (3 Januari 2007). "Cicak-Man ke Hong Kong". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ "Cicak-Man ditayang di Indonesia". Berita Minggu. 10 Disember 2006. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Ellyna Ali (9 Disember 2006). "Cicak-Man perintis filem superhero". Harian Metro. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Nurulhisham Abdul Latiff (9 Disember 2006). "Cicak-Man boleh dibanggakan". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Ratna Murniwati Amir Hamzah (22 Disember 2006). "Negara Cicak Man tak sesuai dengan bangsa". Berita Harian. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Shakilawati Abd Rahman (10 Disember 2006). "Wira cicak gagah". Metro Ahad. Dicapai pada 5 Februari 2021.
- ^ Faridul Anwar Farindordin (7 Disember 2006). "Look, it's Lizard-man!" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Sharifah Arfah; Azman Ahmad (15 Januari 2007). "Lizardman proves a point". New Straits Times. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ "Cicak-Man: Evolusi filem tempatan". Mesra.net. Disember 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-02-21. Dicapai pada 5 Februari 2011.
- ^ "Cetak rompak Cicak-Man laris". Metro Ahad. 7 Januari 2007. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Nur Aqidah Azizi (30 Ogos 2007). "Cicak-Man returns!" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Sharifah Arfah (4 September 2007). "More lizard adventures" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Suzan Ahmad (20 April 2008). "KRU yakin Cicak Man 2 lebih bagus, hebat". Berita Minggu. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Zul Husni Abdul Hamid (2 September 2007). "Yusry yakin tarikan Tamara". Berita Minggu. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ Farihad Shalla Mahmud (8 September 2008). "Cicak-Man 2 banyak aksi, komedi". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Februari 2009. Dicapai pada 14 September 2008.
- ^ Rudy Syareme Sheriffudin (3 Januari 2008). "Misi Prof Klon bunuh Cicak-Man". Harian Metro. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ "The Return Of Professor Klon" (dalam bahasa Inggeris). KRU Music Group. 26 Ogos 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-10-17. Dicapai pada 2008-02-26.
- ^ Normah Becok (28 Ogos 2012). "Penggambaran Cicak-Man 3 Oktober depan". Berita Harian. Dicapai pada 6 Februari 2021.
- ^ "Elemen komedi masih gah". Harian Metro. 26 Mac 2015. Dicapai pada 29 November 2015.
- ^ Akmaliah Razak (7 Februari 2015). "Cicakman 3 janji lebih mantap". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Julai 2018. Dicapai pada 6 Februari 2016.
- ^ Haryati Karim (22 Februari 2014). "Cicakman 3 penuh konflik". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Disember 2015. Dicapai pada 29 November 2015.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Tapak web rasmi (diarkibkan)
- Cicak-Man di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)